DEMI MENCAPAI CITA-CITA AKU HARUS SEMANGAT DALAM BELAJAR

Rabu, 07 Januari 2009

Inikah Remaja Masa Depan...?



oleh: eTika

Seorang lelaki mendekati seorang pemuda di zaman Rasulullah bernama Salman el-Farisi, lalu bertanya kepada beliau, “Anak siapakah kamu ini?” Pada sangkaan lelaki itu, Salman akan menjawab bahawa dia adalah anak keturunan Parsi, atau anak watan kerajaan Kisra Parsi yang terkenal dengan kehebatan kerajaannya. Ini kerana kebiasaan orang-orang Arab berbangga dengan kaum atau keturunan mereka yang mulia. Namun sangkaannya meleset, tetapi pada masa yang sama kagum dengan Salman apabila pemuda itu menjawab, “Saya anak didikan Islam!” Salman menjawab dalam keadaan rendah diri, tapi penuh bangga menjadi seorang Islam. Berbangga kerana menjadi sebahagian daripada hamba-hamba Allah. Bangga menjadi pengikut Rasulullah yang amat dicintainya.

Pada suatu ketika dulu, serangan pemikiran daripada musuh-musuh Islam menjadikan umat Islam sendiri malu untuk menyerlahkan identiti mereka sebagai seorang Islam. Bahkan kalau boleh remaja Islam tidak mahu mengaitkan kehidupan mereka dengan Islam. Anak gadis malu berpakaian sopan, bertudung labuh, berbaju kurung, tapi merasa bangga bila berseluar dan mengenakan t-shirt yang ketat. Isu-isu umat Islam sudah tidak lagi mahu menjadi bahan bualan pemuda. Perbualan harian mereka berkisar tentang perkembangan dunia artis barat, filem-filem terbaru daripada barat, dan kehidupan sosial mereka yang hanya mahu bersuka-ria mengikut kemahuan keremajaan mereka. Suasana ini pernah berlaku pada remaja kita.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, dapat dikesan tiupan angin perubahan yang mendadak di kalangan remaja Malaysia. Tiupan angin ini semakin lama semakin kencang, bahkan dijangka, suatu ketika ia bertukar menjadi ribut yang bakal mengubah cuaca dan suasana Malaysia. Ribut yang bakal merobohkan perpecahan masyarakat, tapi membina penyatuan umat. Angin yang bakal menghancurkan kerosakan akhlak dan permusuhan, tapi menyuburkan akhlak mulia dan kasih sayang. Taufan yang merubah sifat mengagungkan terhadap budaya dan trend barat kepada kecintaan dan kebanggan terhadap Allah dan Rasulullah. Itulah ribut kebangkitan Islam. Itulah taufan kebangkitan generasi masa depan.

Islam Jadi Kebanggaan

Kisah Salman al-Farisi tadi adalah salah satu daripada gejala kebanggaan umat Islam terhadap agama mereka. Islam tidak sekadar diamalkan, bahkan menjadi kebanggaan untuk diamalkan. Firman Allah di dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Padahal bagi Allah jualah segala kemegahan juga bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” [al-Mu’minun 63: 8] Para remaja kini sudah mula berbangga dengan Islam. Tidak seperti dulu, remaja kini lebih berbangga jika memasuki sekolah aliran agama. Lebih-lebih lagi setelah aliran agama diintegrasikan dengan aliran kontemporari seperti sains tulen dan perakaunan.

Apa yang menjadi kebanggaan mereka bukanlah Islam semata-mata nama, tetapi kerana tahu bahawa Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap, sempurna dan membahagiakan hati. Islam sempurna kerana ia meliputi semua aspek kehidupan. Baik sekecil-kecil doa sebelum tidur, hinggalah soal pentadbiran negara, dan hubungan antarabangsa. Islam yang mengajar umatnya bertuhankan Allah, mensatukan Allah, memuja dan mengagungkan Allah, sebagai Tuhan yang memerintah alam, memberi kekuatan jiwa yang cukup untuk remaja meneruskan hidup yang penuh dengan ujian. Apabila hati keluh kesah, mereka merasa bahawa Allah sentiasa bersama hamba-Nya. Ketika ditimpa musibah, mereka faham itu cara Allah mendidik hamba yang dikasihi-Nya. Ketika menanam azam dan usaha, mereka yakin bantuan Allah pasti akan mengiri makhluk-Nya. Inilah sebab mengapa Islam dibanggai. Remaja kini faham, Islam memberi mereka inspirasi.

Rasul Sebagai Ikutan

Islam sebagai inspirasi, telah memotivasikan remaja mencipta kecemerlangan. Remaja era kebangkitan Islam tidak menjadikan artis-artis barat yang rosak akhlaknya sebagai idola dan contoh mereka tapi Rasulullah s.a.w., insan bernama Muhammad, Nabi dan kekasih Allah. Tatkala sukarnya menempuh perjuangan alam remaja, mereka mula terkenangkan sejarah kehidupan baginda Rasulullah s.a.w. yang jauh lebih sukar. Rasulullah yang amat cintakan umat baginda ternyata pejuang dan pahlawan yang sukar ditandingi. Pengalaman Rasulullah berdakwah menyebarkan Islam ke serata tempat, menempuh pelbagai rintangan, ejekan, tohmahan, ludahan, celaan menjadi pengajaran berguna buat remaja kini.

Tidak timbul lagi susahnya mencipta kecemerlangan akademik, kerana kita tidak berperang dengan bilah-bilah pedang atau mata tombak berkilauan. Cuma masa dan kerahan minda diperlulan untuk mengasah akal menjadi insan yang bermaruah dan membentuk bangsa yang terhormat. Perjuangan Rasulullah yang bermula dengan wahyu “Bacalah...!!” membuktikan bahawa Islam adalah agama intelek, dan menghasilkan para intelektual. Aspirasi baginda ini telah meresap ke dalam jiwa remaja, menguasai saraf remaja kini untuk bangkit membuktikan bahawa para remaja kini mempunyai tahap mentaliti yang tinggi, rajin berfikir dan membaca, dan bersedia dengan senjata ilmu yang cukup untuk menguasai dunia.

Akhlak Mulia Hiasi Peribadi


Tamadun barat (yang menjadi kebanggaan Westlife, Backstreet Boys, Britney Spears dan seumpamanya) mula dipinggirkan oleh remaja kerana barat hanya mementingkan kualiti minda, tanpa kualiti jiwa. Maka lahirlah insan-insan yang bijak akalnya tapi rosak akhlaknya. Kemahiran komputer digunakan untuk mencuri wang, merosakkan laman web, mencipta laman web lucah atau menceroboh e-mail. Lebih teruk lagi, para intelek mereka sentiasa bertelagah sesama sendiri, kerana ilmu adalah menjadi kebanggaan, bukan alat mencari kebenaran. Lahirlah ilmu yang diselewengkan, semata-mata untuk mencipta nama di persada dunia.

Tapi tamadun Rasulullah bukan sahaja melahirkan minda-minda berkualiti. Tapi minda yang terdidik dengan akhlak terpuji. Sebetulnya ilmu mencipta kemuliaan diri, tetapi tidak menjadi kebanggaan peribadi. Mulianya ilmu, kerana mulianya akhlak pembawanya. Pemuda Islam tidak sekadar bijak berbicara, tapi juga menghormati ibu bapa dan orang tua. Remaja Islam bukan hanya tinggi sijil akademiknya, bahkan sentiasa menyayangi si kecil dan orang yang lebih muda. Tiada hati yang terluka kerana bicaranya. Tiada jiwa yang berdendam kerana kejayaannya. Ketinggian ilmu menambah rasa bertuhan. Rasa bertuhan mendidik mereka untuk berkasih sayang sesama insan. Remaja cemerlang inilah menjadikan bangsa mereka gemilang.

Glitter Words